Wednesday, January 27, 2010


Aku penat...

0

Bukan tentang "kasihan" atau "gosip" atau "simpati" ...
Aku hanya penat ...

Aku bosan sentiasa disalah faham,

terasa seperti ditembak dikepala,
lemah - seperti tiada tulang.

Aku bosan menjadi sakit,
tidak ada tenaga, tidak boleh berfikir,
kehilangan kemahiran.

Aku bosan disebut-sebut teman-teman,
yang suka menusuk di belakangku,
lagi dan lagi.

Aku bosan cuba membuat hal-hal yang benar,
aku pasrah - aku menyerah,
tidak akan melawan.

Aku bosan melihat orang lain kesakitan,
menimbulkan frustrasi,
membuatku gila.

Aku bosan kerana tidak boleh menangis,
tapi tetap akan meleleh,
tersisa dalamnya dihati ini.

Aku lelah kerana aku tidak bisa merasakan,
berjalan terhuyung hayang.

Aku bosan menjadi "kuat"
Aku lemah, aku rapuh,
tiada cara untuk ku ubati.

Aku tidak tahu apa lagi yang harus kukatakan,
Aku berharap, aku bermimpi,
Aku mohon, aku memohon,
sila, bawa perasaan ini pergi.

Sekarang ... Aku hanya penat ...

Tuesday, January 26, 2010


Semakin hampir..

1
Hari berganti hari...masa berlalu teramat pantas tanpa ibu sedari sekarang sudah penghujung bulan januari 2010..terasa baru semalam kita menyambut tahun baru..
Anak kesayangan ibu sudah hampir berumur 2 tahun.Terlalu banyak yang telah berlalu sejak entri terakhir ibu bercerita mengenai adik.Ibu tidak percaya betapa cepat semua ini berlalu. Ibu memandang foto-foto lama, dari umur adik satu hari sehingga sekarang hampir 2 tahun..Terlalu banyak perbezaannya..Yang paling ketara wajah adik tidak lagi semontel dulu, paha sudah menyusut ..Ibu fikir mungkin adik terlalu banyak bermain tetapi alhamdulillah,berat badan adik masih ditahap normal bagi kanak-kanak seusia adik..Itu yang ibu dan papa amat harapkan..adik membesar dengan sihat dan gembira..Kalau setahun yang lepas,hanya kedengaran suara ibu dan papa yang bercakap namun sekarang kita sekeluarga sudah boleh bertukar komunikasi verbal,bergelak ketawa sama-sama. Adik seolah-olah memahami setiap bicara ibu, dan ibu tahu adik boleh faham bahkan lebih daripada yang ibu sedari.Adik boleh memahami beberapa perkataan English dan Thai, dan adik juga memahami bahawa objek yang sama boleh disebut lebih dari satu hal. Sekarang adik boleh menghitung sampai 10. Bahkan, ketika ibu sedang mengeringkan adik lepas dari mandi, adik akan berkata "la," menunggu ibu untuk melengkapkan dengan "Kepala." "Muka," adik akan mengatakan. "ka." "Mulut," adik akan mengatakan"yut". Ibu akan terus menjawab dan seterusnya, dan seterusnya kerana ibu tak nak terlepas walau sesaat melihat perkembangan adik..Masa berlalu terlalu pantas,dan ibu tak nak kehilangan setiap detik itu...

Adik akan berumur 2 tahun pada Mac depan.Uhhh, kemana masa itu berlalu? Ibu tidak percaya itu.Hanya setahun yang lepas adik hanya merangkak di tanah,dan hanya mempunyai dua gigi, bertatih di tepi-tepi dinding...

Kadang-kadang ibu agak berharap kita boleh memperlambat masa,menikmati sepuas-puasnya setiap detik dan menghabiskan seberapa banyak masa yang boleh bersama-sama!


Wednesday, January 20, 2010


Ingatlah...

0
muhamad harith izuan..
dengarlah papa dan ibu bermadah
sebagai nasihat untukmu semasa hayat masih dibadan sebelum papa dan ibu memejamkan mata
sebagai ingatan kami dan kenanganmu
muhamad harith izuan..
jika kamu alim jadilah obor kepada semesta
jika kamu jahil bernaunglah di bawah cahaya
jika kamu kaya jadilah bank kepada masyarakat
jika kamu miskin berbanggalah untuk keredhaan Tuhanmu hindarlah dari meminta-minta
supaya terpelihara keizzahanmu
biarlah kamu miskin dengan Tuhanmu
kaya dengan manusia
muhamad harith izuan..
jika kau saudagar jauhilah riba betulkan timbangan
berbuat adillah dalam berjual bell
jika kamu perlu mintalah kepada Tuhanmu
agar manusia tidak menghinamu
jika pemimpin jadilah payung kepada umatnya
rendahkan sayapmu jika kamu dipimpin
serahkanlah kepada kebijaksanaan ketuamu
muhamad harith izuan..
Jika kamu pejuang banyakkan mengingati Tuhanmu
hadapilah musuh jangan melampaui balasan-batasannya
jika kamu menderita, tersiksa berserahlah kamu
itu tanda 'basyar' dari Tuhan
Tuhan kasih padamu
kasih Tuhan itu lebih dari kasih seorang ibu kepada anaknya



Tuesday, January 19, 2010


Buat anakanda Harith...

0

muhamad harith izuan..
ingatilah dan hayatilah pesanan Lukman Al Hakim kepadanya anaknya sayang,

01. Wahai anakku, ketahuilah, sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat, layarilah lautan itu dengan sampan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya adalah tawakkal kepada Allah.

02. Wahai anakku, Orang - orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

03. Wahai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

04. Wahai anakku, seandainya ibu-bapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukan, maka marahnya adalah bagaikan baja bagi tanam-tanaman.

05. Wahai anakku, Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

06.Wahai anakku, selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar benar takut (takwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

07. Wahai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa banyak mengelamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

08.Wahai anakku; engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi akan lebih lagi daripada itu, bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

09. Wahai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan bila mana tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimu sendirilah yang layak menjadi utusan.

10. Wahai anakku, Jauhilah bersifat dusta, sebab dusta itu mudah dilakukan, bagaikan memakan daging burung, padahal sedikit sahaja berdusta itu telah memberikan akibat yang berbahaya.

11. Wahai anakku; bila engkau mempunyai dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, pilihlah untuk menziarahi orang mati, sebab ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanya mengingatkan dirimu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12. Wahai anakku, Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu adalah lebih baiknya bila makanan itu diberikan kepada anjing sahaja.

13. Wahai anakku, janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya sesuatu itu dan janganlah pula terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14. Wahai anakku, Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang yang bertakwa dan musyawarahlah urusanmu dengan para alim-ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15. Wahai anakku; bukanlah satu kebaikan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Perkara itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu bakar, maka setelah banyak ia tidak mampu memikulnya, padahal ia masih mahu menambahkannya.

16. Wahai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura pura membuat dia marah. Bilamana dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambil dia sebagai kawan. Bila tidak demikian, maka berhati hatilah.

17. Wahai anakku, Selalulah baik tutur kata dan halus budi bahasamu serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan benda yang berharga.

18. Wahai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarkanlah dia yang mengharapkan sesuatu darimu.

19. Wahai anakku, Jadikanlah dirimu dalam segala tingkahlaku sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20. Wahai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan Allah bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21. Wahai anakku, usahakanlah agar mulutmu jangan mengeluarkan kata kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat bila berdiam diri. Kalau berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat bagi orang lain.

22. Wahai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang menggelikan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu dan janganlah mensia-siakan hartamu.

23. Wahai anakku, barang siapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata yang mengandungi racun, dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24. Wahai anakku, bergaullah rapat dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati ini mendengarkan nasihatnya, hiduplah hati ini dengan cahaya hikmah dari mutiara kata- katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25. Wahai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja, dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan menjadi pengemis yang menjadi beban kepada orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak akan membinasakan dirimu.



Friday, January 15, 2010


Disaat anakku mula berbicara...

0

Suatu hari seorang bayi siap untuk dilahirkan ke dunia...

Dia bertanya kepada Tuhan : " Para malaikat disini mengatakan bahawa esok Engkau
akan mengirimkan saya kedunia, tetapi bagaimana cara saya hidup disana, saya begitu
kecil dan lemah ?"


Dan Tuhan menjawab: "Aku telah memilih satu malaikat untukmu. Ia akan menjaga dan mengasihimu ."


Bayi bertanya lagi: "Tetapi disini , didalam syurga ini, apa yang saya lakukan hanyalah bernyanyi, bermain dan tertawa...Inikan sudah cukup bagi saya untuk berbahagia."


Dan Tuhan menjawab:"Malaikatmu akan bernyanyi dan tersenyum untukmu setiap hari.
Dan kamu akan merasakan kehangatan cintanya dan menjadi lebih berbahagia"


Bayi bertanya lagi: "Dan bagaimana saya boleh faham disaat orang-orang disana berbicara kepada saya jika saya tidak faham bahasa mereka ?"

Dan Tuhan menjawab:"Malaikatmu akan berbicara kepadamu dengan bahasa yang paling indah yang pernah kamu dengar dan dengan penuh kesabaran dan perhatian. Dia akan mengajar kepadamu cara berbicara."


Bayi bertanya lagi:"Dan apa yang akan saya lakukan saat saya ingin berbicara kepadaMu ?"


Dan Tuhan menjawab:"Malaikatmu akan mengajarkan bagaimana cara kamu berdoa"


Bayi bertanya lagi:"Saya mendengar bahawa di Bumi banyak orang jahat. Siapa yang akan melindungi saya ?"


Dan Tuhan menjawab:"Malaikatmu akan melindungimu walaupun hal tersebut mungkin akan mengancam jiwanya"


Bayi bertanya lagi:"Tapi, saya pasti akan merasa sedih kerana tidak melihatMu lagi"

Dan Tuhan menjawab:"Malaikatmu akan menceritakan kepadamu tentang Aku, dan akan mengajarkan bagaimana agar kamu boleh kembali kepadaKu, walaupun sesungguhnya
Aku akan sentiasa disisimu"

Disaat itu, Syurga begitu tenang dan heningnya sehingga suara dari Bumi dapat terdengar dan...

si bayi bertanya perlahan : "Tuhan, jika saya harus pergi sekarang, bolehkah Kamu
memberitahuku nama malaikat tersebut ?"


Dan Tuhan menjawab:"Kamu akan memanggil malaikatmu itu " IBU "

Ingatlah sentiasa...
kasih sayang dan pengorbanan seorang IBU.
Berbakti, berdoa dan cintailah dia sepanjang masa...
Dialah satu-satunya harta yang tiada galang gantinya
dunia dan akhirat...

Dan untuk para ibu,
ingatlah kisah ini dikala kamu hilang sabar
dengan karenah anak-anak yang sedang membesar...
sesungguhnya Syurga itu dibawah telapak kakimu...

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :
1) Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan,
2) Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,
3) Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbmu, dan dosa-dosa yang silam
4) Di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."


"Semasa diberi nyawa selepas berusia tiga bulan dalam rahim ibu, kita telah berjanji dengan Allah (a.w) untuk beriman denganNya, menurut segala perintah dan ketetapanNya dan menjalani kehidupan di dunia, apabila dilahirkan kelak, mempertuhankan Dia. Ketika roh ditiupkan ke dalam jasad kita - ketika itu kita sudahpun sempurna dari segi fisikal kita - sebagai manusia, kita sudah berdepan dengan Allah (a.w) dan melafazkan ikrar janji kita kepadaNya."


Monday, January 11, 2010


Suatu Perjalanan

1
Sedikit kisah untuk kita suami isteri..semoga memberi kita peluang untuk menghargai pasangan kita dan semoga kita para isteri tidak tergolong dalam ahli neraka..Ameen..

"Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang.

"Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


SILAP ISTERI

Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

Wahai kaum wanita, aku lihat
kamu ini lebih banyak di neraka".

Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang
demikian? Adakah sebab kami ini kufur?'

Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu
yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka:

1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah
2. Kamu kufurkan kebaikan suami.'



Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.

YANG LEBIH, YANG KURANG

" Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

" Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata.

" Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


ENGKAU TERBAIK UNTUKKU

" Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."



Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini." Ingat, kehidupan didunia adalah sementara dan jikalau kita dijodohkan, maka harus untuk mencari kebaikan dari apa jua kesalahan.

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..

AJL 24

0

Yeah..Tirai Anugerah Juara Lagu 24 telah berakhir tadi. Setiap artis telah mempersembahkan lagu masing2 dengan cara dan prop masing2.

Akhirnya terjawab sudah teka-teki mengenai Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL 24) yang baru sahaja tamat sebentar tadi di TV3. Kalau tak silap, konsep AJL 24 ialah origami. Music unfolds? Apa-apa jela kan.

Keputusan Anugerah Juara Lagu ke-24
[Vokalis Terbaik] Aku Rindu Sayang Kamu – Black (komposer/penulis lirik: Yuzai)
[Persembahan Terbaik] Kau Aku – Aizat (komposer/penulis lirik: Aizat)
[Tempat Ketiga] Bencinta – Faizal Tahir (komposer: Audi Mok, penulis lirik: Faizal Tahir)
[Naib Juara] Dan Sebenarnya – Yuna (komposer/penulis lirik: Yuna, Paan, Efry, Adil)
[Juara Lagu] Pergi – Aizat (komposer/penulis lirik: Pete Teo, Amran Omar)


Lagu-lagu dalam AJL24:


LAGU UNTUKMU - DATO SITI NURHALIZA - LAN ex- MUH - OPENING - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


DAN SEBENARNYA - YUNA - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


PAKAI BUANG - STACY - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


SITUASI - BUNKFACE - OPENING - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


BENGANG - AKIM - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


AURORA - ESTRANGED - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


CINTA ADAM DAN HAWA - MISHA OMAR - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


TAK MUNGKIN KERANA SAYANG - ALYAH - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


PERGI - AIZAT - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


AKU RINDU SAYANG KAMU - BLACK - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


AKU SCANDAL - HUJAN - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


BERCINTA - FAIZAL TAHIR - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


KAU AKU - AIZAT - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )


MASIH JELAS - HAFIZ - ANUGERAH JUARA LAGU 24 ( AJL 2010 )