Thursday, March 8, 2007


Cemburu

0
Alia nampak dengan jelas, gadis itu keluar dari perkarangan rumah Ikwan. Alia juga nampak Ikwan menghantar gadis cantik itu dengan lambaian dan senyuman yang ranum. Kata Ikwan, gadis itu adalah kawan kecilnya. Tapi sejak gadis itu datang, Ikwan kian menjauh darinya, Ikwan kerap keluar bersama gadis itu. Hati Alia sakit!

Ikwan jarang menelefonnya kini.
Malah, kalau Alia call di rumah, selalu saja keluar. Handsetnya juga selalu suruh tinggalkan pesanan suara saja, bila ditanya kenapa, kata Ikwan habis bateri. Takkan sepanjang minggu habis bateri? Kalau dapat call pun Ikwan cakap sikit saja dengannya. Seolah tidak ada lagi topik yang menarik hendak di kongsikannya bersama Alia. Alia rasa bahang perubahan sikap Ikwan. Gara-gara kehadiran gadis cantik yang pulang dari London itu. Kononnya kawan lama, entah-entah kekasih lama!
“Gadis tu kan baru je datang dari luar negara, lagi pun mereka memang sahabat rapat dari kecil, memanglah banyak yang nak dibualkan setelah sekian lama tidak berjumpa.” Alia mahu percaya kata-kata Nina yang memujuknya itu. Tapi cemburu dihati Alia masih juga meronta-ronta tak mahu kalah. Tak boleh jadik nih!
“Tapi Nina.. Wan dah berubah! Dia macam dah lupakan Lia.. macam dia dah malas nak jumpa atau sekurang-kurangnya berbual dengan Lia.. sejak kedatangan kawan baiknya yang cantik tu!” Geram Alia bila teringatkan gadis itu. Sakit hati Alia bila terbayang wajah cantik itu. Memang dia benar-benar cantik! Hidungnya lebih mancung dari Alia, kulitnya putih dan halus. Bukan seperti Alia yang berkulit sowo matang. Matanya besar dihiasi bulu mata yang panjang dan lentik serta keningnya hitam lebat. Pipinya gebu dan licin macam kulit tomato. Bibirnya mungil dan merah jambu tanpa perlu disapu gincu. Rambutnya pula panjang lurus separas dada. Hati lelaki mana yang tidak tertawan. Alia tahu beza antara dia dan gadis itu bagaikan langit dengan bumi.
Alia pandang ke dalam cermin, pantulan dari cermin memaparkan wajahnya yang masam mencuka. Dia lihat keningnya yang nipis, matanya yang kecil dan bulu mata yang pendek. Kulitnya tidak sehalus dan segebu gadis itu. Bibirnya pucat saja. Kalau tidak memakai gincu langsung tidak menarik. Alia mula bencikan rupanya! Dia ingin kelihatan cantik, lebih cantik dari gadis itu!
Alia bandingkan pula dirinya dengan gadis itu, dia hanya mendapat Diploma dalam bidang Pengurusan dan sekarang jadi kerani biasa di sebuah syarikat swasta. Gadis itu pula baru habis belajar di luar negara dengan gelaran Sarjana Muda Undang-undang. Kalau dapat kerja nanti, pasti gajinya menjangkau angka dua ribu. Ah! Gadis itu umpama permata yang berharga, manakala Alia bagai pasir yang bertaburan dijalanan. Alia mengeluh lagi.
“Pasti Ikwan tidak berminat untuk bersamaku lagi.. Ikwan sudah menjumpai gadis yang sesuai dengan dirinya..” kata Alia sendirian. Alia sedar, Ikwan tidak setaraf dengannya, lelaki itu berkerja sebagai Timbalan Eksekutif di syarikat ibunya. Mereka adalah golongan berada, bukan macam Alia yang sederhana. Namun hati Alia masih berharap, dia berharap Ikwan akan kembali mesra seperti dulu. Alia ingat perkenalan mereka yang singkat tapi bermakna.
“Encik Haris ada?” itulah kata-kata Ikwan ketika masuk ke pejabatnya untuk menemui bos Alia, yang merupakan pelanggannya.
“ Emn.. dia keluar sekejap! Ada apa-apa yang saya boleh bantu?” ujar Alia sambil mengkagumi rupa paras lelaki yang berdiri didepannya. Ikwan kacak sekali. Senyumannya lembut dan suaranya lunak.
“Emn.. tak apalah! Biar saya tunggu dia..”
“Oh.. kalau begitu.. silakan..”
Ikwan duduk di meja menunggu yang menghadap meja Alia, Alia sesekali melirik pada Ikwan yang membelek-belek majalah yang tersedia di atas meja itu. Bila sedar dirinya diperhatikan, Ikwan melemparkan senyuman menawannya. Alia jadi tersipu malu. Tidak lama kemudian bosnya Encik Haris kembali. Ikwan segera masuk ke bilik pejabat Encik Haris.
Waktu tengahari, Alia turun makan di restoran berhampiran, ketika Alia menunggu pesanannya, tiba-tiba satu suara menyapa.
“Boleh saya join kamu?”
Alia agak terkejut bila melihat Ikwan berdiri di tepi mejanya.
“Semua meja telah penuh..” ujarnya lagi dengan senyumannya yang mencairkan hati Alia. Alia agak tergagap tetapi mempersilakan Ikwan duduk semeja dengannya. Mereka mula berbual dan memperkenalkan diri masing-masing. Mula-mula perbualan mereka agak lembab, tapi Ikwan pandai berjenaka. Alia tak henti-henti ketawa dibuatnya. Ikwan menyerahkan kad namanya pada Alia, dia juga membayar semua harga makanan.
“Terima kasih, belanja saya makan..” ujar Alia sebelum mereka berpisah.
“Call saya kalau ada masa..” laung Ikwan sebelum pergi. Alia menggangguk. Hatinya berbunga riang.
Sejak hari itu, mereka kerap berhubung. Ikwan selalu bercerita tentang apa saja dengannya. Ikwan akan meluahkan apa saja yang ingin dikongsikannya pada Alia. Lama kelamaan hubungan Alia dengan Ikwan menjadi erat. Putik-putik cinta bersemi. Ikwan melamar cintanya pada hari lahirnya yang ke dua puluh lima tahun. Dengan sejambak bunga, kek harijadi dan seutas rantai. Alia tidak akan lupa betapa bahagianya hati wanitanya hari itu. Bagaikan seorang puteri yang mencapai impiannya.
Tapi itu dulu, sebelum kehadiran gadis cantik yang baru pulang dari luar negara. Kini Ikwan semakin sibuk. Dia tidak ada masa untuk menghubungi Alia. Dia sudah ada teman lain untuk berkongsi cerita mahu pun masalah. Kalau dulu, Alialah tempat mengadu bila hatinya resah atau terlalu penat dengan kerja, kini ada gadis lain yang mengambil alih peranan itu. Alia semakin terkilan.
***************
Alia tidak menghubungi Ikwan lagi selepas dia ternampak gadis itu keluar dari rumah Ikwan. Alia tidak mahu menjadi muka tembok yang tidak tahu malu. Biarlah Ikwan menghubunginya jika lelaki itu masih ingat padanya. Alia ingin menganggap hubungannya dengan Ikwan sudah berakhir.
Dia mengambil keputusan itu setelah memikirkannya masak-masak. Walau pun tiada kata putus antara mereka, Alia lebih rela daripada mendengar kata perpisahan dari mulut Ikwan. Namun setelah dua minggu, Ikwan tidak juga menghubunginya. Hati Alia semakin remuk redam.
“Hai Lia.. mendung je muka kamu kebelakangan ni..” Sapa Harun, rakan sekerjanya.
“Kau jangan sibuklah!!”
“Eh! Marah?” Sakat lelaki itu lagi. Alia tarik muka masam. Dia memang selalu bermuram durja gara-gara hubungannya dengan Ikwan yang dingin itu.
“Aku bukan apa Lia.. tapi sebagai kawan, aku kesian juga tengok kau ni.. badan pun dah susut.. kau makan hati ya?”
Harun bersuara lagi. Alia tantang muka Harun dengan tajam. Dia tidak suka orang lain masuk campur dalam hal peribadinya.
“Aku dah lama tahu hubungan kau dengan Encik Ikwan tu.. aku rasa baik kau lupakan saja dia tu.. aku rasa kau pun tahu, Helina sudah balik dari luar negara. Si cantik tu akan bertunang dengan encik Ikwan tak lama lagi.” Lancar benar Harun menceritakan hal itu. Darah Alia rasanya tersirap hingga ke umbun-umbun. Dia tidak menyangka hubungan Ikwan dengan gadis cantik itu sudah sampai ke tahap bertunang.
“Dari mana kau dapat tahu semua ni Harun?” tanya Alia was-was. Betul ke budak Harun ni? Banyak sangat dia tahu tentang Ikwan.
“Kau hairan? Aku sepupu Helina, memang la aku tahu banyak tentang dia dan Ikwan..” Sahut Harun dengan yakin. Alia tertunduk, matanya mulai terasa panas. Ada manik-manik jernih yang bertakung dibibir matanya. Sampai hati Ikwan!
Hendak bertunang pun Ikwan tidak memberitahunya.
“Mereka dijodohkan oleh keluargakah?” tanya Alia lagi. Dia berharap Ikwan berbuat demikian kerana terpaksa. Alia enggan menerima hakikat kalau Ikwan benar-benar mengkhianati cintanya!
“Sudahlah Alia.. jangan berharap lagi! Helina tu memang kekasih dia.. sebelum kau bersama Ikwan lagi.”
Hati Alia hancur berkecai mendengar kebenaran itu. Jadi selama ini Ikwan menipunya. Selama ini dialah pihak ketiga. Dia hanya sebagai boneka Ikwan kala Helina tidak ada bersama. Cuma sandaran sementara saja! Patutlah Ikwan tidak memperkenalkannya pada Helina bila Helina baru pulang. Ikwan kata kawan sepermainannya dari kecil lagi baru pulang dari luar negara. Tapi sedikit pun dia tidak bersuara untuk memperkenalkan Alia pada gadis itu, jadi memang benarlah Helina adalah kekasih lama seperti jangkaan Alia!
Sakit hati Alia terasa semakin dalam. Jantungnya seakan ditikam-tikam dengan pisau yang amat tajam. Dia benci Ikwan. Dia benci Helina! Mengapa mereka melukakan hatinya. Mengapa Ikwan mencambahkan cinta dihatinya, tapi kini dengan kejam membunuh cinta itu tanpa belas kasihan!
“Kenapa dia tidak beritahu aku?” kata Alia seolah-olah bertanya pada Ikwan.
“Entahlah Lia.. dia mungkin takut kau akan berjumpa Helina dan mengaku sebagai kekasihnya.. pasti hubungannya dengan Helina akan terjejas jika itu berlaku..”
Ada benarnya juga kata-kata Harun itu, patutlah Ikwan enggan dihubungi. Dia takut rahsia hubungannya dengan Alia terbongkar.
“Harun.. aku nak cuti setengah hari, hari ini.. tolong bagitau Encik Haris, katakan aku tak sihat..” Alia mengemas mejanya. Dia ingin pulang ke rumah dan menangis sepuas-puasnya. Dia ingin meraung dan menjerit untuk melepaskan kesakitan yang sarat berbuku didadanya. Harun mengangguk. Dia kelihatan amat bersimpati dengan Alia.
Alia segera mengambil telefon bimbitnya dan mendail nombor Zarul, adik sepupunya. “Kakak ni.. tolong ambil kakak di pejabat!” kata Alia sebaik saja talian disambungkan.
“Ai! Awalnya.. ada apa hal kak?”
“Kakak tak sihat hari ni.. kau di mana sekarang?”
“Saya masih di bandar ni.. ada temuduga pukul 11.00 a.m., habis temuduga nanti saya ambil kakak macam mana?”
Alia mengeluh. Dia ingin segera pulang ke rumah. Tapi Zarul pula sibuk. Adik sepupunya itu baru tamat belajar dan sedang mencari kerja. Dia dihantar dari kampung oleh ibubapanya untuk tinggal bersama Alia sementara mendapatkan pekerjaan. Zarul akan menghantar dan mengambilnya dari kerja setiap hari. Alia baru saja membeli sebuah kereta kancil tapi dia tidak mempunyai lesen memandu. Nasib baiklah Zarul sudah mendapatkan lesen memandu, secara tidak langsung Zarul menjadi pemandu sementara kepada Alia yang baru memohon lesen memandu dan masih dalam proses pembelajaran.
“Tak apalah! Kakak naik bas saja..”
“Eh! jangan lah..! Zarul datang sekarang..”
“Kan kau nak temuduga.. nanti terlewat pula.. sekarang dah pukul 10.30 a.m..”
“Alah.. masih sempat!” Talian terus diputuskan. Alia mengeluh. Zarul berkeras mahu menghantarnya pulang meski pun dia ada temuduga. Alia terpaksa menunggu. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi hon di luar. Alia segera keluar dan masuk ke perut kereta.
“Tengok.. sudah pukul 10.40am.. mana sempat!” ujar Alia sambil menunjukkan jam tangannya pada Zarul.
“Sempat.. bukannya jauh!” balas Zarul sambil ketawa kecil.
“Ha.. nak bawa laju lah tu! Zarul.. kakak rasa baik Zarul pergi tempat temuduga tu, kakak tunggu di kereta.” Cadang Alia.
“Emn.. idea yang baik..” Zarul setuju. Kereta segera meluncur ke tempat yang dituju.
“Eh! Kau temuduga di sini?”
Zarul angguk. Alia kenal benar dengan bangunan itu. Bangunan itu adalah milik ibu Ikwan. Jadi Zarul pergi temuduga di syarikat milik keluarga Ikwan. Alia benar-benar tidak senang hati!
“Zarul kejap saja.. kakak tunggu ya!” Zarul bergeges masuk ke dalam bangunan itu.
Alia mendengar radio sementara menunggu Zarul masuk ke dalam. Tiba-tiba sebuah kereta masuk parking benar-benar di sebelah keretanya. Alia macam kenal kereta itu, dia menoleh memandang pemandunya. Alia tersentak, Ikwan! Lantas Alia berpura-pura tidak melihat Ikwan. Alia menundukkan kepalanya sambil membaca surat khabar yang dibeli Zarul. Bila Alia sudah pasti Ikwan telah pergi barulah Alia tercangak-cangak mencari kelibat lelaki itu. Perasaannya bercampur baur. Dia pun tidak tahu mengapa dia mengelakkan diri dari bersemuka dengan Ikwan. Biarlah hubungan mereka berlalu bagai angin yang datang menyapanya untuk seketika. Rasanya tak perlu lagi Alia hendak berperang besar dengan Ikwan atau Helina. Alia sedar siapa dirinya. Kalau nak rajuk biar pada yang sayang, kalau orang dah tak sudi buat apa Alia nak terhegih-hegih menagih perhatian Ikwan. Namun jauh di sudut hati Alia, dia merasa cukup pedih dan sengsara. Cinta yang mekar di hatinya itu bukannya mudah hendak dibuang dalam sekelip mata!
Ketika dia sibuk merenungi nasib diri, tiba-tiba Zarul muncul mengetuk cermin kereta. Di belakangnya kelihatan Ikwan yang memandangnya dengan wajah penuh misteri. Alia segera membuka tingkap.
“Kakak.. saya telah diterima bekerja di sini.. emn! Ni lah bos saya.. katanya nak jumpa kakak..” kata Zarul sambil tersenyum simpul. Hati Alia menjadi tidak keruan. Dia memandang muka Zarul dan Ikwan silih berganti.
“ Emn.. boleh kita cakap sendirian..?” Kata Ikwan dengan tenang.
Alia terasa lidahnya kelu. Dia yakin, Ikwan mahu berterus terang dengannya kini. Terasa air mata mula bertakung di bibir matanya. Alia mengangguk perlahan.
“Lia naik kereta Wan?” Ikwan membuka pintu keretanya. Alia angguk lagi. Dia segera keluar dari kereta kancilnya dan masuk ke dalam kereta Honda Ikwan.
“Zarul balik dulu lah!” kata Alia pada Zarul. Zarul agak kehairanan kerana bakal bosnya mengajak kakak sepupunya masuk ke dalam keretanya pula. Tapi Zarul tidak membantah. Dia masuk ke dalam kereta dan beredar.
“Kita pergi tempat biasa?” kata Ikwan lembut. Alia tidak menyahut. Dia hanya terbayang puncak bukit di mana mereka selalu menghabiskan masa bersantai di situ. Dengan membawa sedikit bekalan, mereka seolah-olah berkelah di puncak bukit itu. Tapi itu dulu, sebelum kehadiran Helina. Alia yakin, Ikwan hendak bercakap tentang hubungan mereka pada hari ini. Mungkin hari ini adalah hari terakhir mereka mengunjungi puncak bukit yang indah itu.
“Kenapa diam?”
Alia menoleh memandang Ikwan. Ikwan melirik padanya sambil terus memandu. “ Emn.. tak ada apa..” Sahut Alia malas.
Sebenarnya dia mahu meluahkan segala yang berbuku di hatinya. Dia mahu tanya tentang Helina dan mengapa Ikwan merahsiakan hubungannya dengan Helina selama ini. Alia ingin sekali mengamuk dan meradang atas sikap Ikwan yang mempermainkan hati dan perasaannya. Namun, Alia hanya membisu, dia tidak tahu hendak berkata apa kepada Ikwan. Cintanya pada Ikwan begitu dalam dan Alia pasrah jika terpaksa mendengar khabar buruk itu hari ini.
Sepuluh minit kemudian mereka sampai di puncak bukit. Suasana tenang dan dingin. Tapi hati Alia semakin ketakutan. Takut menghadapi kata-kata perpisahan dari Ikwan. Ikwan kejam kerana mempermainkan harga dirinya. Alia tidak mahu kelihatan bodoh dengan mengamuk atau melenting pada Ikwan yang nyata menjadikannya sebagai boneka mainan. Itulah tekad Alia. Alia ingin terus bersabar!
“ Kenapa diam saja dari tadi Lia..?” tanya Ikwan lagi. Dia memandang mata Alia seolah-olah mencari-cari sesuatu di situ. Wajah Alia muram saja. Tidak ada apa-apa di matanya kecuali kedukaan.
“Cakaplah apa yang Wan nak cakap..” ujar Alia membuang pandangannya dari wajah Ikwan. Ikwan menarik nafas berat. Sukar untuk memulakan kata-kata.
“ Wan tahu, Alia kecil hati kerana Wan seolah-olah menjauhkan diri dari Lia.. maafkan Wan..” Ikwan mula membuka kata-kata. Alia mengigit bibir menahan sendu di hatinya.
“Lia pun tidak mahu menghubungi Wan lagi.. Lia juga seolah-olah tidak mahu ambil tahu tentang Wan lagi..” Sambung Ikwan.
Alia terus membisu, dia enggan berkata apa-apa. Biarlah Ikwan menyampaikan kata-kata terakhirnya sebelum mereka berpisah. Alia bersiap untuk mendengar kebenaran yang pasti menyakitkan itu.
“Biarlah Wan berterus terang dengan Lia…”
Alia segera membelakangkan Ikwan. Dia tahu apa yang bakal didengarnya. Airmatanya sudah luruh. Ikwan tidak menyedari airmata itu kerana Alia segera menyembunyikan wajahnya dengan menghadap hutan yang tebal.
“ Wan..” suara Alia serak. “ Boleh tak Wan tak payah cakap apa yang Wan nak cakap..” Alia masih membelakangi Ikwan. Suaranya bergetar, Ikwan mula perasan ada pergolakan dalam perasaan Alia. Dia ingin sekali memujuk.
“ Lia.. Wan tahu Lia merajuk! Wan tahu Wan salah.. Kita berdamai o.k?”
Alia segera berpaling ke arah Ikwan. Ikwan terharu melihat airmata Alia yang bercucuran itu. “Sampai hati Wan.. Lia tahu Lia tak sepadan dengan Wan, tapi kenapa Wan tak terus terang dengan Lia? Sepatutnya Wan tak perlu minta maaf dengan Lia.. biarkan saja Lia! Kawin sajalah dengan kekasih hati Wan tu.. sampai hati Wan permainkan perasaan Lia..” Tersembur keluar semua yang berbuku dihatinya. Wajah Ikwan nampak terkejut.
“Kenapa? Wan tak sangka Lia sudah tahu hubungan Wan dengan Helina? Wan fikir Lia tak tahu Wan nak bertunang dengannya? Cukuplah Wan.. jangan nak siksa hati Lia lagi..” Ucap Alia separuh menjerit. Ikwan tercengang memandangnya.
“ Mana Lia dapat cerita ni?”
“ Itu tak penting.. yang penting mengapa Wan permainkan perasaan Lia.. kenapa Wan mahu bersama Lia sedangkan Wan dah ada Helina..”
“ Lia.. Lia.. Lia! Wan tak faham.. mana Lia dapat cerita Wan nak tunang dengan Helina, sumpah Lia! Dia cuma kawan baik Wan dari kecil lagi. Dia bukan kekasih Wan!”
Alia mula diam, tangisnya reda mendengar kata Ikwan. Mereka berpandangan.
“Betul..?” tanya Alia sambil mengesat airmatanya. Ikwan angguk.
“Tapi kenapa Wan tak kenalkan Lia dengan dia? Kenapa Wan jauhkan diri sejak dia datang?” Wan tarik nafas berat. Dia melangkah ke keretanya dan mengambil sesuatu.
“Nah!”
Beberapa keping gambar dihulurkan kepada Alia. Alia membelek semua gambar itu. Semuanya gambar dia bersama Zarul, ketika dalam kereta, di jalan raya dan di perkarangan rumah.
“Kenapa ada gambar Lia dan Zarul..?” tanya Alia tidak faham.
“Kerana gambar inilah Wan menjauhkan diri dari Lia.. beberapa minggu lepas, satu surat dikirimkan pada Wan. Dalam surat itu ada gambar Lia dan Zarul. Kononnya Zarul adalah tunang Lia.. Lia telah ditunangkan oleh keluarga Lia.. Wan pun frust la bila dapat tahu..” cerita Ikwan dengan tenang.
“Tapi kenapa Wan tak tanya pada Lia?” Kata Alia dengan wajah yang lebih cerah. Sisa-sisa airmata sudah hilang.
“Itulah silap Wan! Wan mahu Lia sendiri yang berterus terang dengan Wan.. tapi Lia sikit pun tidak cakap apa-apa, Zarul tinggal serumah dengan Lia .. tapi sedikit pun Lia tidak memberitahu Wan.. tentulah Wan salah faham. Wan geram, marah dan benci pada Lia sebab tu Wan malas nak layan Lia.. malas nak sambut call Lia.. Manalah Wan tahu Zarul tu adik sepupu Lia.. mujurlah dia datang temuduga tadi, Wan masih cam muka Zarul dalam gambar tu. Wan memang nampak Lia dalam kereta tunggu Zarul tadi, tapi Wan tak tegur Lia kerana Wan masih salah faham dengan Lia, tapi lepas temuduga Zarul tadi, Wan tanya Zarul siapa gadis yang tunggu dalam kereta? Barulah Wan tahu Zarul adalah adik sepupu Lia.. barulah Wan tahu selama ni Wan salah faham dengan Lia.. Wan nak minta maaf, Lia?”
Alia termangu mendengar cerita Ikwan. Rupanya ada kisah yang diluar jangkaannya. Siapa pula yang mengambil gambarnya dengan Zarul dan mengatakannya bertunang? Alia keliru.
“Wan tak tunang dengan Helina?”
“Sumpah tidak! Siapa yang cakap ni..”
“Harun.. sepupu Helina! Katanya Wan memang kekasih Helina sebelum Wan bersama Lia lagi.. katanya tak lama lagi Wan akan bertunang dengan Helina.. Lagi pun Wan semakin menjauhkan diri dari Lia sejak dia datang..” jelas Alia. Dia mula ragu dengan kata-kata Harun.
“Mestilah Wan jauhkan diri dari Lia masa tu, sebab Wan marah pasal gambar Lia dengan Zarul.. Wan malas nak kenalkan Lia dengan Helina kerana masa tu Wan benar-benar salah sangka pada Lia.. maaf ye sayang..” Ikwan menarik tangan Alia dan memandang tepat ke matanya. Alia angguk sambil menarik nafas lega. Dia menyangka Ikwan hendak memutuskan hubungan tapi kini sebaliknya.
“Memang benar Harun tu sepupu Helina, tapi hairan mengapa dia nak menghancurkan hubungan kita pula?” Kata Ikwan penuh tanda tanya. Alia angkat bahu. Kini hatinya lega. Gadis cantik itu ternyata tidak ada apa-apa hubungan cinta dengan Ikwan. Rupanya semua masalah itu hanyalah salah faham dan fitnah orang lain. Cemburunya pada gadis itu hilang serta merta.
“Dan hairan.. siapa pula yang ambil gambar Lia serta hantar kat Wan? Sudah jelas ada orang yang mahu musnahkan hubungan kita?” Kata Alia pula.
“Ya! Mungkin Harun juga?” Alia mengganguk tanda setuju dengan kata-kata Ikwan itu. mereka berpandangan. Saling tersenyum. Mereka tidak peduli apakah motif Harun, yang paling penting kini mereka sudah kembali bersama.
“Maaf ya?” tanya Ikwan sekali lagi.
“Lia juga..” Balas Alia.
“Sia-sia saja Wan bencikan Lia.. tahu-tahu cuma salah faham..” Kata Ikwan sambil ketawa kecil. Teringat akan sikapnya beberapa minggu yang lepas. Seluruh isi rumah menjadi tempatnya melepaskan marah. Berbakul-bakul leteran ibu kepadanya kerana sikapnya menjadi garang tidak tentu pasal. Anak-anak buahnya di pejabat pun tidak berani curi tulang, takut pada Ikwan yang tidak semena-mena bertukar angin. Bos yang dulunya peramah dan mesra menjadi bengis tak menentu. Pantang silap sikit adalah yang kena marah! Semuanya pasal gambar yang diterimanya itu. Helina pun selalu merungut dengan perangainya yang selalu berubah angin. Hendak berlawak jenaka pun susah. Kalau senyum pun bagaikan terpaksa!
“BenarkahWan bencikan Lia?” Tanya Alia menduga.
“ Ya! Benci sangat.. benci tapi rindu..ha ha ha.. merana betul Wan menanggung rindu tidak jumpa Lia beberapa minggu. Kadang-kadang Wan harap Lia akan call atau SMS Wan.. tapi bila buka handset.. sunyi saja..” luah Ikwan tentang perasaannya ketika musim dingin hubungan mereka.
“Lia juga.. nak call Wan.. tapi teringat Helina mungkin sedang bersama Wan..” Ujar Alia pula, mereka tertawa bersama. Rupanya mereka sama saja, cemburu buta!
“Zarul cakap Lia tak sihat? Minta hantar balik rumah..” tanya Ikwan dengan muka bimbang. Muka Alia memang pucat saja tadi.
“Emn..” Alia tersenyum nipis. Kini dia kelihatan berseri-seri.
“Lia sakit apa?” tanya Ikwan lagi sambil sentuh dahi Alia.
“Sakit hati..” jawabnya dengan menahan senyum.
“Oh.. rupanya! Sakit hati kenapa boleh senyum?” ujar Ikwan setelah mendapat tahu. Dia turut senyum meleret. Alia hanya menolak bahu Ikwan dengan manja. Ikwan tertawa melihat riaksi Alia.
“Lia..” Panggil Ikwan dengan suara romantis. Alia mendongak ke arah wajah lelaki yang dicintainya itu. Rindu benar hatinya pada Ikwan. Mujurlah semuanya sudah berubah baik.
“Emn..”
“Jom kita kawin?”
Mata Alia terbelalak. Dia menatap wajah Ikwan minta kepastian akan lamaran yang tiba-tiba itu.
“Kenapa? Tak sudi?”Tanya Ikwan lagi.
“Wan lamar Lia?” Angguk.
“Bunga? Cincin? Takkan nak lamar macam ni saja?” usik Alia dengan senyum nakal. Ikwan ketawa besar. Dia menarik Alia masuk ke dalam keretanya. Alia kehairanan.
“Jom kita pergi beli bunga dan cincin!!” balas Ikwan sambil masuk ke dalam perut kereta. Kereta meluncur laju menuju ke bandaraya.
“Mulai saat ini.. kalau ada apa-apa masalah, kita mesti bincang! Jangan simpan sendiri dalam hati.. o.k?” bisik Ikwan sambil memimpin tangan Alia menuju ke kedai bunga terhampir. Alia mengangguk. Wajahnya penuh dengan senyuman bahagia. Dugaan seperti itu mungkin datang lagi. Tapi kalau saling cinta menyintai, kalau saling kasih mengasihi dan kalau saling mempercayai antara satu sama lain, apa pun dugaannya pasti dapat diredah bersama. Ternyata dugaan cinta itu berlalu juga!

Monday, March 5, 2007


Kesalahan suami isteri

0
Islam mensyariatkan perkahwinan dan menjadikan perkahwinan itu sebagai pagar pemelihara kesucian nasab keturunan manusia. Firman Allah s.w.t:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: “dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. [al-Rum: 21]

Maksud “al-Mawaddah” dalam ayat ini adalah jimak atau hubungan seks sebagaimana yang ditafsirkan oleh Ibn Abbas r.a, Mujahid, dan Qatadah manakala “al-Rahmah” pula menurut mereka adalah anak-anak.

Maka Allah s.w.t meletakkan hubungan intim antara suami isteri sebagai satu perkara penting dalam alam perkahwinan bahkan menjadi pengikat utama antara suami isteri kerana hanya melalui perkahwinan sahaja seseorang manusia dihalalkan melakukan hubungan seks yang merupakan antara syahwat terbesar manusia demikian melalui hubungan seks jua lahirnya keturunan dan zuriat umat manusia.

Oleh itu, amat penting bagi pasangan suami isteri untuk melakukan hubungan seks sesuai dengan kehendak syariat dan sunnah Nabi s.a.w. Maka di sini saya ingin menyentuh beberapa kesalahan yang terjadi dalam perkara ini:

1. Melihat Hubungan Seks sebagai Adat atau Tuntutan Nafsu Sahaja.

Apabila hendak melakukan hubungan seks, suami isteri perlu faham bahawa apa yang bakal mereka lakukan adalah satu ibadah kerana sabda Nabi s.a.w:

وفي بضع أحدكم صدقة

Maksudnya: “dan pada kemaluan seseorang kamu (digunakan untuk menjimak isterinya) adalah sedekah”. [Muslim & Ahmad].

Daripada hadis ini ulama telah bersetuju, hubungan seks antara suami isteri adalah ibadah dan diberi pahala atasnya. Hukumnya pula adalah wajib antara suami isteri yang memerlukannya. Dalilnya adalah sabda Nabi s.a.w:

إذا دعا الرجل امرأته إلى فراشه فأبت أن تجيء لعنتها الملائكة حتى تصبح

Maksudnya: “Apabila seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidur lalu dia (isteri) enggan maka dia akan dilaknat malaikat sehingga pagi”. [al-Bukhari & Muslim].

Maka apabila seorang isteri dipanggil suami untuk bermesra maka wajib dia datang walaupun dalam keadaan haid kerana wanita yang haid masih boleh bermesra dengan suaminya selama tidak melakukan seks penetretif berdasarkan sabda Nabi s.a.w:

اصنعوا كل شيء إلا النكاح

Maksudnya: “Buatlah semuanya kecuali nikah” [Muslim & Ahmad].

Maksudnya boleh suami bermesra dengan isterinya yang haid dan nifas selama dia menjauhi tempat keluarnya darah.

Demikian juga hadis ini walaupun menunjukkan kepada wanita tetapi masuk juga kepada suami apabila isterinya mengajak kepada hubungan wajiblah dia penuhi kerana hadis:

وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا

Maksudnya: “dan sesungguhnya isterimu mempunyai hak ke atasmu”. [al-Bukhari].

Para ulama berbeza pendapat berapa kali wajib melakukan hubungan seks itu, ada yang berpendapat setahun 3 kali sekurang-kurangnya, ada yang menyatakan 4 hari sekali, dan ada yang menyatakan setiap kali isterinya suci daripada haid hendaklah dilakukan sekali (yakni sebulan sekali). Namun, yang zahir adalah wajib menurut keperluan setiap pasangan itu sendiri.

2. Meninggalkan Doa Sebelum Jimak

Telah sabit dalam sunnah Nabi s.a.w hendaklah membaca doa khas yang diajar Nabi s.a.w sebelum melakukan jimak iaitu:

بِاسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبْ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah Syaitan daripada kami dan jauhkanlah Syaitan daripada apa yang Engkau berikan kepada kami (anak)”.

Doa ini sabit dalam Sahih al-Bukhari dan lainnya serta membacanya memberi faedah yang besar iaitu mengelakkan syaitan daripada turut campur serta dalam hubungan seks mereka yang mana jika syaitan turut campur serta akan mengakibatkan terhasilnya zuriat yang jelik pada akhlaknya.

Demikian juga bagi pengantin baharu, apabila hendak melakukan hubungan seks buat kali pertama, hendaklah suami memegang ubun-ubun isterinya lalu membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا ، وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا ، وَمِنْ َشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku bermohon kepadamu kebaikannya dan kebaikan yang Engkau ciptakan padanya dan aku berlindung padaMu daripada keburukannya dan keburukan yang Engkau ciptakan padanya”. [Abu Daud, Ibn Majah-sahih-].

Doa ini juga sunat dibaca apabila kita membeli kenderaan baru atau khadam baharu dan seumpamanya.

3. Menambah Doa dan Zikir yang Tiada Asal dalam Syariat

Terdapat juga pihak-pihak yang menulis dan mengarang buku panduan hubungan suami isteri menyenaraikan doa dan zikir yang tiada asal usul dalam syariat, tidak bersumber kepada hadis-hadis yang sahih.

Tindakan ini amat bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ فِيهِ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mereka cipta perkara baharu dalam urusan (agama) kami ini maka (amalan itu) tertolak”. [al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, Ibn Majah, dan Ahmad].

Zikir dan bacaan doa khas adalah ibadat khas yang mesti bersumber daripada Rasulullah s.a.w tidak boleh direka-reka, maka perbuatan menambah-nambah bacaan seperti selawat sewaktu menyentuh bahagian tertentu daripada badan isteri, menyebut Asmaul Husna ketika hendak menyentuh atau mencium anggota tertentu adalah bidaah dolalah.

4. Kepercayaan Larangan Melihat Kemaluan Suami Isteri

Tidak dinafikan ada pendapat sesetengah ulama yang menyatakan haram atau makruh melihat kemaluan antara suami isteri, bahkan ada yang beriktikad melihat kemaluan ini akan menjadikan anak buta atau cacat tetapi kepercayaan ini tidak dapat diterima sama sekali kerana ia berdasarkan hadis palsu yang berbunyi:

النظر إلى الفرج يورث الطمس

Maksudnya: “Melihat kepada kemaluan itu mewariskan buta”.

Dan hadis:

إذا جامع أحدكم زوجته أو جاريته فلا ينظر إلى فرجها فإن ذلك يورث العمى

Maksudnya: “Apabila salah seorang kamu menjimak isterinya atau jariahnya janganlah melihat kepada kemaluannya kerana itu mewariskan buta”.

Hadis-hadis ini adalah mauduk, yakni palsu [Lihat: al-Maudu'at, 2/271].

Adapun hadis:

إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ فَلْيَسْتَتِرْ وَلاَ يَتَجَرَّدْ تَجَرُّدَ الْعَيْرَيْنِ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi isterinya maka hendaklah dia menutup (auratnya) dan janganlah berbogel seperti keldai”. [Ibn Majah]

Hadis ini daif sebagaimana dijelaskan al-Busairi r.h dalam al-Zawaid demikian juga al-Albani r.h dalam tahkik beliau terhadap Sunan Ibn Majah.

Demikian juga hadis Aisyah r.a katanya:

ما نظرت أو ما رأيت فرج رسول الله صلى الله عليه و سلم قط

Maksudnya: “Aku tidak pernah sama sekali melihat kemaluan Rasulullah s.a.w”. [Ibn Majah & Ahmad].

Hadis ini juga daif sebagaimana sepakat antara al-Busairi, al-Albani dan al-Arnauth.

Bahkan telah sepakat para ulama harus bahkan mustahab suami isteri saling pegang memegang kemaluan mereka untuk menambahkan keghairahan dalam hubungan. Imam Abu Hanifah r.h ditanya berkenaan hukum suami isteri saling memegang kemaluan antara mereka untuk menaikkan syahwat adakah salah? Maka beliau menjawab:

لاَ ، وَأَرْجُو أَنْ يَعْظُمَ الأَْجْرُ

Maksudnya: “Tidak menjadi kesalahan, bahkan aku berharap digandakan pahala bagi keduanya”. [al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 32/90].

Imam Malik r.h pula berfatwa:

لا بأس أن ينظر إلى الفرج في حال الجماع وزاد في رواية ويلحسه بلسانه

Maksudnya: “Tidak ada salahnya untuk dia melihat kemaluan isterinya semasa jimak”. Dalam riwayat lain menambah: “dan harus dia menjilatnya dengan lidahnya”. [Mawahib al-Jalil, 3/406]

Demikian juga dalam I’anah al-Tolibin, kitab fiqah Syafii menyatakan harus seorang suami beristimta’ (bersenang-senang) dengan seluruh tubuh isterinya termasuk menjilat klitoris tetapi dijauhi halaqah dubur. [I'anah al-Tolibin, 3/340]. Ini menunjukkan harusnya melihat kemaluan antara suami isteri. Dasar keharusan ini adalah sabda Nabi s.a.w:

احفظ عورتك إلا من زوجتك أو ما ملكت يمينك

Maksudnya: “Jagalah auratmu kecuali daripada isterimu atau hamba sahayamu”. [Abu Daud, al-Tarmizi, Ibn Majah, dan Ahmad serta ianya hasan].

5. Merakam Aksi Seks dan Melihat Filem Porno untuk Ransangan

Antara seburuk-buruk kesalahan yang berlaku adalah merakam aksi seks yang dilakukan antara suami isteri. Jika yang merakam tersebut pihak ketiga maka keharaman dan kehinaannya amat jelas, demikian juga yang merakam itu suami isteri sendiri walaupun dengan alasan simpanan peribadi kerana tidak aman daripada rakaman itu terlepas ke tangan manusia lain paling kurang ahli rumahnya.

Telah sepakat ulama haram seseorang melakukan jimak dalam keadaan dilihat orang lain atau di tempat yang memungkinkan dilihat orang pada kebiasaannya dan sebahagian ulama memakruhkan jimak dalam bilik yang ada bayi kecil sekalipun.

Demikian juga perbuatan melihat filem porno untuk merangsang kerana matlamat tidak menghalalkan cara. Telah maklum bahawa haram melihat aurat manusia lain sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Nur ayat 30 dan 31:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ (30) وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ…

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka…”

dan sabda Nabi s.a.w:

لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ولا المرأة إلى عورة المرأة

Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki memandang aurat lelaki yang lain dan seorang wanita memandang aurat wanita yang lain…”[Muslim].

Maka memandang aurat berlawanan jenis tentu lebih haram lagi.

6. Tidak Melakukan Muqaddimah

Sabda Nabi s.a.w:

” لا يقعن أحدكم على امرأته كما تقع البهيمة ليكن بينهما رسول ، قيل ما الرسول ؟ قال : القبلة والكلمة “

Maksudnya: “Janganlah seseorang kamu menjimak isterinya seperti haiwan, hendaklah ada antara antara kedunya utusan”. Sahabat bertanya: “Apakah utusan itu?” Jawab Nabi s.a.w: “Ciuman dan ucapan”. [al-Baihaqi].

Daripada hadis ini, menjadi sunnah untuk suami isteri melakukan muqaddimah jimak seperti bercumbu rayu dan melakukan foreplay. Tindakan meninggalkan cumbu rayu ini menyebabkan amalan jimak tadi terpesong daripada sunnah Nabi s.a.w.

7. Memecahkan Dara dengan Jari

Antara perkara bidaah yang berlaku dalam masyarakat arab adalah memecahkan dara dengan jari sebelum si isteri masuk ke kamar suami untuk menjadi bukti isterinya masih dara. [Mukjam al-Bida', 84].

Demikian juga jika si suami memecahkan dengan jari semasa persetubuhan kerana seorang wanita itu mungkin telah terkoyak selaput daranya kerana terjatuh, banyak berjalan atau berlari, dan mungkin sahaja kerana kedatangan haid yang berat (heavy period). Tindakan suami memecahkan dara dengan jari akan mendatangkan rasa tidak senang jika tiba-tiba tiada darah yang keluar dan ini membuka jalan syaitan untuk menimbulkan syak wsangka pada suami terhadap isterinya. Wallahua’lam.

8. Melakukan Seks dalam Keadaan Tidak Sihat Tubuh Badan

Tidak ada tegahan syarak melakukan seks semasa suami atau isteri dalam keadaan kurang sihat seperti demam, selsema dan sebagainya tetapi secara ilmiahnya, ilmu Psikologi menetapkan perkara ini akan memberi kesan kepada anak yang terhasil semasa perhubungan tersebut.

Kondisi anak yang terhasil daripada persetubuhan semasa tubuh kurang sihat adalah lemah dan kurang daya tahan. Jadi hendaklah dielakkan melakukan seks penetratif dalam keadaan tubuh kurang sihat.

9. Suami Tidak Menanti Isteri di Kemuncak

Hendaklah suami jangan menyudahkan hubungan sehingga isterinya juga mencapai orgasme kerana sabda Nabi s.a.w:

إذا أتى أحدكم أهله فليصدقها فإن سبقها فلا يعجلها

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu mendatangi (menjimak) isterinya maka berilah dia sedekah jika dia (si suami) mendahuluinya (si isteri) maka janganlah dia tergesa-gesa”. [Abu Yakla, daif].

Hadis ini daif tidak menjadi hujah namun secara ilmiahnya diketahui bahawa membiarkan isteri tidak mencapai kepuasan adalah satu kezaliman dan melanggar umum perintah Allah s.w.t:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “dan bergaullah dengan mereka (para isteri) dengan baik..” [al-Nisaa: 19].

10. Menyebarkan Rahsia Kamar

Amat jelik sekali akhlak mereka yang mendedahkan rahsia kamar tidur antara suami isteri kepada orang luar walau kepada ibu bapa sendiri sekalipun. Dalam hadis menyatakan:

إن من شر الناس منزلة الرجل يفضي إلى المرأة وتفضي إليه، ثم يصبح يتحدث بما جرى بينهما

Maksudnya: “Sesungguhnya seteruk-teruk manusia kedudukannya adalah seorang lelaki yang menyetubhi isterinya kemudian dia menceritakannya pada waktu paginya”. [Muslim].

Maka haram hukumnya menyebarkan rahsia kamar tidur kecuali dengan tujuan perubatan atau memohon fatwa dan seumpamanya daripada maslahat yang mendesak. [Maza Taf'al Lailatal Bina', 28].

Penutup:

Maka demikianlah sebahagian kesalahan yang berlaku dalam hubungan intim suami isteri dan perlu diperbetulkan oleh setiap pasangan suami isteri yang inginkan hubungan intim mereka berlaku sesuai dengan panduan syariat Islam yang suci.

Perlu diketahui, persetubuhan merupakan langkah pertama dalam rangka membentuk seorang anak, maka amat wajar pembentukan anak itu dilakukan dengan cermat menurut garis panduan syariat dan janganlah menjadikan seks semata-mata untuk melampiaskan nafsu tetapi jadikanlah sebagai ibadah yang mudah-mudahan dengannya kita mendapat reda Allah s.w.t.

Sumber: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI; I LUV ISLAM